MPIC News Feed

  1. GETAH: Pergetah bela nasib penoreh

    http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pergetah-bela-nasib-penoreh-1.604909
    Sumber: Sinar Harian

     
    Mohd Taufik menyampaikan bantuan makanan kepada warga emas di Kg Gabus Mukim Pulai Baling.
    BALING - Hasil usaha berterusan memperjuangkan nasib golongan penoreh sejak ditubuhkan pada Mac 2015, nama Pergetah kini mula meniti di bibir pelbagai pihak.
    Pengerusi, Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah), Mohd Taufik Yaacob berkata, Pergetah ditubuhkan selepas menyedari suara golongan penoreh terpinggir.
    “Dahulu kita tiada satu ruang yang mahu menjadi platform untuk bawa suara penoreh bagi mendesak dan menjaga kebajikan penoreh yang ada di seluruh pelosok kampung.
    “Hari ini para penoreh yang dahulunya terhimpit dengan kejatuhan harga getah kini boleh menghela sedikit perasaan lega apabila harga menunjukkan perubahan, inilah wadah yang selama ini kita perjuangkan bagi penoreh di kampung, wadah perjuangan Pergetah tanpa fahaman politik,”katanya di sini kelmarin.
    Menurutnya, dengan kewujudan Pergetah, suara golongan penoreh mula dihormati di peringkat atas.
    “Pergetah memang bersungguh-sungguh dan mendesak supaya kebajikan penoreh dapat diberi perhatian yang serius, banyak manfaat yang dapat diterima penoreh.
    “Antaranya agensi kerajaan pusat dan negeri mula turun membantu di kampung dengan memberi beras dan keperluan makanan serta wang ringgit, ini salah satu hasil perjuangan Pergetah mendesak dan memberitahu bahawa penoreh di kampung masih dibelenggu kemiskinan yang mana selama ini pihak atas tidak tahu ada penoreh perlu dibela,”katanya.
    Mohd Taufik berkata, pihaknya juga mencadangkan pengenalan sistem Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi membantu meringankan ekonomi penoreh.
    Menurutnya, sistem itu akan membantu golongan penoreh sekiranya harga getah jatuh di paras bawah RM 2 bagi sekilogram.
    “Pada peringkat awal ia dilaksanakan LGM, penoreh hanya boleh membuat tuntutan sebanyak 20 sen sekilogram apabila harga getah jatuh di bawah paras RM1.70 hingga RM 1.60 sekilogram, tetapi Pergetah sekali lagi berjumpa dengan semua pihak berkaitan untuk  menambah baik sistem ini.
    “Hasilnya daripada 20 sen sekilogram penoreh akan dapat 50 sen sekilogram apabila harga getah jatuh di bawah paras RM 2.00 sekilogram,”katanya.
    Tambahnya, penggunaan kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PATG) juga diperluaskan dalam kalangan warga penoreh hasil saranan persatuan berkenaan.
    Dalam pada itu, Taufik berkata, pihak kilang dan LGM perlu mengubah terbitan harga semasa getah daripada tiga kepada sekali sehari.
    “Kita mendesak agar hanya sekali terbitan harga dikeluarkan, jika tiga kali sekali akan ada pihak yang memanipulasi harga, penoreh khususnya akan teraniaya.
    “Sistem pesanan ringkas yang dibuat LGM juga dicaj 50 sen bagi sekali mesej untuk mengetahui terbitan harga juga membebankan penoreh dan peraih, jika tiga kali mesej dalam sehari adalah tidak wajar, syarikat berkaitan akan mengaut keuntungan dengan jumlah RM 1.50 sehari bagi setiap penoreh,”katanya.
    Tambahnya, LGM didesak menurunkan harga khidmat pesanan mesej itu daripada 50 sen kepada 20 sen atau hanya membolehkan sekali sahaja khidmat pesanan mesej itu dikeluarkan dalam sehari.
    Katanya, kerajaan digesa menyeragamkan kos operasi di kilang.
    “Kos operasi adalah berdasarkan pada elektrik dan kos operator, kos mesin dan minyak, di sini pihak kilang memainkan harga di mana apabila harga getah naik mereka juga naikkan kos operasi,
    “Mengapa ini terjadi? sepatutnya kos operasi perlu diseragamkan sama ada harga getah jatuh atau naik, dengan naikkan kos operasi, kilang akan jana keuntungan secara diam dari penoreh,”katanya.

     

     

     

  2. PERLANTIKAN: PELANTIKAN PENGERUSI MAJLIS KAYU-KAYAN MALAYSIA

    http://mrembm.bernama.com/viewsm.php?idm=9638
    Sumber: BERNAMA
     

    -- BERNAMA

     
    Pengerusi Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC), YBhg. Dato' Gooi Hoe Hin

    PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) ingin mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Gooi Hoe Hin sebagai Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) mulai 1 Januari 2017 sehingga 31 Disember 2018.
     
    YBhg. Dato’ Gooi Hoe Hin, 64 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian ini yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Utama. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan dan berperanan penting dalam membangunkan industri kayu-kayan. Ini termasuk menggubal pendirian negara dalam isu-isu berkaitan dengan eksport produk-produk kayu-kayan serta menangani isu-isu akses pasaran bagi kayu-kayan tropika. Beliau turut memainkan peranan utama dalam penubuhan beberapa agensi di bawah Kementerian termasuk MTC.
     
    Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh YBhg. Dato’ Gooi Hoe Hin akan membolehkan beliau melaksanakan tanggungjawab ini dengan berkesan dan mampu memperkukuhkan industri kayu-kayan negara.
     
    Pada masa yang sama, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi MTC, YB Datuk Wee Jeck Seng di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada MTC dan Kementerian dari 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016.
     
    DATUK SERI MAH SIEW KEONG
    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

    Sumber : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)

     

     

  3. GETAH: Peningkatan Harga Getah Beri Kesan Positif Kepada Pekebun Kecil – Mah

    Bernama
    http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1314257


     
    KLANG, 23 Dis (Bernama) -- Peningkatan harga getah telah memberi kesan positif kepada lebih 440,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

    Beliau berkata faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan itu ialah kekurangan bekalan getah akibat musim hujan yang berpanjangan di negara-negara pengeluar utama getah seperti Thailand dan Malaysia.

    Selain itu, peningkatan permintaan dari China akibat pengurangan stok getah di negara tersebut, katanya kepada pemberita selepas melawat perusahaan Lee Swee Kiat Group Bhd di sini hari ini.

    Lee Swee Kiat Group Bhd telah dinamakan di dalam Malaysia Book of Records sebagai pengeluar tilam terbesar dengan pengeluaran tahunan sebanyak 4,008 tan lateks terempar setahun.

    Katanya jumlah stok getah di China telah merosot kepada 175,000 tan sejak awal tahun 2016, merupakan rekod terendah dalam tempoh enam tahun.

    Mah berkata peningkatan permintaan dari China juga disebabkan sentimen positif daripada peningkatan permintaan kenderaan di negara tersebut.

    Katanya Malaysia perlu menghasilkan lebih banyak produk hiliran getah untuk memastikan harga getah mampan.

    Ditanya mengenai unjuran harga getah SMR 20 bagi 2017, beliau tidak dapat menjangka, tetapi berharap ia tidak jatuh mendadak kepada paras RM4 sekilogram.

    "RM4 adalah di bawah kos pengeluaran, sekurang-kurangnya (harga SMR 20) RM7 atau RM8 kerana ini merupakan pendapatan yang mampan untuk pekebun kecil getah," katanya.

    Mah berkata eksport getah dan produk getah pada tahun ini dijangka meningkat sebanyak dua peratus berbanding RM25.6 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas.

    "Bagi 2017, dengan harga getah yang meningkat, sumbangan daripada getah dan produk getah akan bertambah," katanya.

    Katanya keluasan tanaman getah di seluruh negara berjumlah 1.07 juta hektar, dengan negeri pengeluaran utama getah Kelantan, Pahang dan Kedah.

    -- BERNAMA

     

     

  4. SAWIT: RHB Research: Profil Usia Ladang EHP Pemacu Utama Pertumbuhan Pengeluaran Minyak Sawit


    Sumber: Bernama
    http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1315064

    KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Anak syarikat RHB Research di Indonesia mengunjur profil usia ladang PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) yang baik akan menjadi pemacu utama bagi pertumbuhan pengeluaran minyak sawit pada tahun-tahun akan datang.

    Naib Presiden PT RHB Securities Indonesia Hariyanto Wijaya berkata bagi tahun ini sebanyak 73,167 hektar atau 64.5 peratus daripada ladang matang nukleus EHP seluas 113,432 hektar dalam fasa peningkatan pengeluaran hasil tandan buah segar (FFB), pada usia empat hingga lapan tahun.

    Beliau berkata pengeluaran FFB EHP di bawah unjuran sejak dua tahun lepas disebabkan oleh kurang hujan yang berpanjangan pada separuh kedua 2014 dan 2015, namun hujan yang banyak tahun ini akan membantu pengeluaran untuk pulih di masa depan.

     

  5. SAWIT: CPOPC Akan Anjur Misi Peringkat Menteri Ke Negara Pengimport Minyak SawitBernama

    http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1314400

    Sumber: Bernama

     
    KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia, anggota pengasas Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), telah bersetuju untuk mengadakan Misi Peringkat Menteri ke negara-negara pengimport minyak sawit pada tahun depan.

    Dalam satu kenyataan, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata ini adalah hasil perbincangan dua hala antara menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Darmin Nasution, yang diadakan pada 22 Disember di Jakarta.

    "Menteri-menteri bersetuju keutamaan diberikan bagi menjemput negara-negara pengeluar minyak sawit yang lain seperti Colombia, Brazil, Thailand dan Papua New Guinea memandangkan ini akan membantu menangani halangan perdagangan antarabangsa yang semakin bertambah ke atas minyak sawit.

    "Ini termasuk pelabelan anti minyak sawit atas alasan nutrisi dan kebimbangan terhadap alam sekitar," katanya.

    Selain itu, para menteri juga bersetuju untuk mengadakan forum sektor swasta dan pekebun kecil bagi berbincang dan mencadangkan langkah-langkah ke arah memperkukuhkan kerjasama dalam industri, termasuk pembangunan pekebun kecil di kedua-dua negara.

    CPOPC turut ditugaskan untuk menerajui kerjasama dalam mempromosi faedah minyak sawit kepada dunia dalam kalangan anggotanya dan majlis itu digunakan sebagai platform bersama untuk berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan mandat biodiesel.

    "Selain itu, para menteri telah meminta Sekretariat CPOPC di Jakarta supaya mengukuhkan tenaga kerja agar majlis itu akan lebih bersedia untuk aktiviti promosi berkaitan dengan sawit," katanya.

    -- BERNAMA

     

     

FaLang translation system by Faboba