Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsperspectives.php?id=1348029
Sumber: BERNAMA


 
Pokok Kenaf - gambar Bernama Oleh Mohamad Bakri Darus

KOTA BHARU, (Bernama) -- Bermula hanya 400 hektar ketika mula ditanam secara komersial di Malaysia pada 2010, kini selepas tujuh tahun kenaf semakin popular dan keluasannya kini mencecah 3,000 hektar.

Semakin menjadi sebutan ramai, kenaf kini merupakan tanaman pilihan sebagai pengganti tembakau yang mempunyai banyak kegunaan biokomposit iaitu untuk industri automotif dan pembinaan, perabot, pulpa dan kertas, tekstil dan bahan makanan untuk ternakan -- bakal memberi pulangan hasil jutaan Ringgit.
 

Kakitangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menunjukkan fiber dari batang kenaf yang sudah diproses

Berasal dari Afrika, hasil kenaf dikategorikan sebagai mesra alam dan boleh diperbaharui kerana kitaran hidup kenaf hanya tiga hingga enam bulan.

Statistik menunjukkan daripada jumlah penanaman kenaf negara bagi tujuan komersial, sebanyak 2,500 hektar diusahakan di bawah kelolaan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) manakala 500 hektar lagi oleh syarikat swasta.

Keluasan terbesar kenaf di Kelantan dan Pahang masing-masing 800 hektar diikuti Terengganu 400 hektar dan bakinya di Kedah, Perlis, Perak dan Johor melibatkan 1,500 penanam.
 


Tilam dan kraftangan antara produk yang dihasilkan daripada gentian batang kenaf


Tanaman kenaf di Kedah dan Perlis adalah untuk mendapatkan biji benih manakala negeri lain untuk gentian dan empulur

yang mempunyai potensi besar dalam aplikasi komersial pelbagai industri.

Tumbuhan kenaf mengandungi dua jenis gentian yang sangat berguna iaitu gentian di bahagian luar (gentian kulit/fiber) sesuai sebagai bahan asas dalam pembuatan kertas; dan gentian di bahagian dalam (empulur/core) setanding dengan gentian yang diperoleh daripada kayu keras yang digunakan dalam penghasilan produk berasaskan kayu.

Menjelaskan lebih lanjut, Ketua Pengarah LKTN Samsudin Noor berkata LKTN menyedari mengenai minat besar industri terhadap potensi kenaf dan pihaknya memperhebatkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendapatkan biji benih berkualiti, kaedah penanaman yang berkesan selain penggunaan peralatan dan jentera.

"Namun demikian terdapat cabaran begitu besar untuk menanam kenaf di kawasan tanaman tembakau kerana penanam tembakau masih lagi merasakan tembakau tanaman yang boleh menjana pendapatan yang lebih baik," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun yakin sikap penanam akan berubah menerusi maklumat daripada pegawai LKTN yang sentiasa turun padang bagi mencapai matlamat tanaman kenaf sebagai komoditi penting negara selepas sawit dan getah.

Samsudin berkata LKTN menyasarkan menjelang tahun 2020, kawasan tanaman kenaf mencapai 10,000 hektar iaitu 8,000 hektar diuruskan secara komersial manakala 2,000 hektar lagi dalam skala kecil.

Dari segi pengeluaran kenaf, Samsudin berkata pada tahun lepas (2016), sebanyak 10,000 tan kenaf bernilai hampir RM5 juta dapat dihasilkan manakala sasaran tahun ini ialah 16,000 tan bernilai RM8 juta.

Bagi menggalakkan penglibatan ramai rakyat dalam industri kenafi, LKTN menganjurkan beberapa program khas seperti Industri Kenaf Rakan Rakyat (IKRaR).

Katanya tumpuan IKRaR adalah untuk mempromosi, membangun dan melaksanakan kerja-kerja pengembangan untuk mengkomersialkan tanaman tersebut.

Selain tanaman Kenaf, LKTN juga menggalakkan petani menanam tanaman giliran seperti padi dan tanaman kontan untuk menambah pendapatan mereka di ladang yang sama.

Kenaf juga sesuai dijadikan tanaman integrasi bagi tanaman getah dan sawit yang pokoknya masih muda.

Sementara itu, tinjauan dalam kalangan petani yang mengusahakan tanaman kenaf secara komersial di Kelantan mendapati mereka mendapat pelbagai bantuan dan insentif daripada LKTN untuk memajukan tanaman berkenaan.

Terdiri daripada kalangan bekas penanam tembakau, mereka mengakui kenaf adalah tanaman terbaik bagi menggantikan tembakau apabila mampu memperolehi pendapatan kasar kira-kira RM40,000 semusim bagi tanaman kenaf seluas lima hektar.

Mohd Nordin Jusoh, 51, dari Kampung Bukit Awang, Pasir Puteh, berkata dia mengusahakan tanaman kenaf seluas lima hektar sejak lima tahun lepas secara bergilir dengan tanaman padi di sawahnya.

"Kenaf boleh dituai antara tiga hingga empat bulan selepas ditanam dan berbanding tembakau, kenaf lebih mudah dijaga," katanya yang mengakui menerima pelbagai bantuan daripada LKTN termasuk khidmat nasihat, benih, baja, peralatan meracun, jentera membajak dan jentera menuai (menebang pokok kenaf).

Asraf Abdullah, 51, dari Kampung Lembah Gaal, Pasir Puteh, yang mengusahakan tanaman kenaf sejak dua tahun lepas, berkata pengenalan jentera menuai memudahkan kerja selain menjimatkan kos penggunaan buruh.

"Kenaf yang telah dituai dijual di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pemasaran LKTN di Kampung Air Tawar, Tok Bali, Pasir Puteh," katanya.

-- BERNAMA

 

Sekian, terima kasih.