Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1342556
Sumber: BERNAMA

 
Datuk Seri Mah Siew Keong

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Satu kajian menyeluruh mengenai buruh dalam sektor perladangan di negara ini akan dijalankan bagi memperbetulkan persepsi antarabangsa kononnya berlaku eksploitasi buruh kanak-kanak dan buruh paksa di negara ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata Malaysia akan bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebuah organisasi antarabangsa bagi menjalankan kajian itu.

Beliau berkata kabinet memperuntukkan RM5 juta kepada kementerian itu untuk menjalankan satu kajian menyeluruh sebagai usaha bagi mengeluarkan Malaysia daripada 'Senarai Barangan Dihasilkan Menggunakan Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa', yang dikeluarkan Jabatan Buruh Amerika Syarikat sejak 2014.

"Malaysia tidak pernah mengeksploitasi tenaga buruh kanak-kanak atau buruh paksa dalam sektor perladangan di negara ini. Ia merupakan satu persepsi yang salah.

"ILO, sebuah agensi diiktiraf merupakan agensi terbaik untuk bekerjasama bagi membersihkan nama kita daripada senarai itu. Kita perlu yakinkan (Amerika Syarikat) agar keluarkan Malaysia daripada senarai tersebut," katanya dalam sidang media di sini Rabu.

Mah berharap kajian di seluruh negara itu akan bermula secepat mungkin dan dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

"Kita berharap Malaysia boleh mengemukakan rayuan pada tahun depan agar dikeluarkan daripada senarai tersebut," katanya.

Mah menegaskan bahawa penyenaraian tersebut 'sedikit sebanyak' menjejaskan daya saing industri sawit Malaysia.

Beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak mengikut ibu bapa ke ladang sawit merupakan satu budaya di negara ini.

"Pekebun-pekebun kecil yang ke kebun, mereka akan membawa anak-anak bersama kerana tiada orang menjaga mereka (kanak-kanak) di rumah. Justeru, ini sudah tentu bukannya buruh paksa," katanya.

Mah juga menegaskan bahawa Malaysia tiada pelan buat masa ini untuk melarang kanak-kanak ke ladang sawit.

-- BERNAMA

 

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1342702
Sumber: BERNAMA

 

Datuk Seri Mah Siew KeongPUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menghantar Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) pertama yang diperakui ke Eropah menjelang akhir tahun, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO menjelang akhir 2019 dilihat sebagai langkah ke arah penjenamaan minyak sawit tempatan yang dihasilkan secara lestari dan selamat.

"Kita menyasar untuk menghantar lima juta tan metrik minyak yang diperakui MSPO ke Eropah menjelang 2019. Kita akan terus bekerjasama dengan semua syarikat dan pembeli Eropah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mah berkata pelaksanaan pensijilan MSPO menunjukkan komitmen serius Malaysia untuk memastikan kelestarian dalam ladang kelapa sawit.

Mengenai resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit dan penebangan hutan hujan, Mah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Indonesia minggu depan untuk mengadakan perbincangan segera mengenai perkara itu.

Beliau berkata resolusi EU itu, yang dijangka dibentangkan di Parlimen Eropah bulan depan, mendakwa minyak sawit sebagai penyumbang utama kepada penebangan hutan dan mencadangkan EU membangunkan pensijilan tunggal yang hanya membolehkan minyak sawit yang dihasilkan secara lestari memasuki pasaran EU.

"Malaysia menganggap resolusi EU sebagai halangan perdagangan dan mungkin mempunyai kesan yang amat buruk kepada eksport Malaysia.

"Resolusi itu juga boleh menjejaskan usaha berterusan yang diambil oleh kerajaan Malaysia ke arah kelestarian, terutamanya dalam pensijilan kelestarian negara di bawah MSPO," katanya.

EU adalah destinasi eksport terbesar bagi minyak sawit Malaysia dan produk sawit dengan eksport bernilai RM10 bilion tahun lepas.

Tahun lepas, EU mengimport 29.4 peratus daripada minyak sawit dari Malaysia dan 48.6 peratus daripada Indonesia.

Sementara itu, Mah berkata Malaysia dan India akan menandatangani empat memorandum persefahaman (MOU) untuk mengukuhkan eksport minyak sawit Malaysia ke negara itu, terutama dalam meneroka aplikasi baru minyak sawit untuk pasaran di India.

Empat MOU akan ditandatangani sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India, bermula esok hingga 4 April, adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Persatuan Saintis dan Ahli Teknologi Makanan (India) - Cawangan Mumbai; MPOB dan Institut Teknologi Kimia (ICT); MPOB dan Persatuan Dabbawala Mumbai; dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA).

"MOU ini menandakan kejayaan bagi minyak sawit Malaysia kerana akan dapat mengukuhkan kedudukan kita di pasaran India.

"Ia menyediakan platform untuk entiti berkaitan minyak sawit Malaysia seperti MPOB dan MPOC untuk bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan badan-badan lain untuk meneroka aplikasi baru minyak sawit khususnya untuk pasaran India.

 

http://www.bharian.com.my/node/265485
Sumber: Berita Harian

MENTERI Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengadakan sidang media berhubung hasil mesyuarat dua hala Malaysia-Perancis yang melibatkan sektor komoditi di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor PUTRAJAYA: Malaysia menegaskan tidak pernah menggunakan buruh paksa kanak-kanak dalam sektor perladangan sawitnya. Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata senarai yang dikeluarkan Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan industri sawit Malaysia menggunakan tenaga kerja kanak-kanak sejak 2014 dianggap sebagai memburukkan imej industri sawit negara. "Mereka mendakwa kaji selidik yang dilakukan di beberapa ladang sawit negara ini mendapati ada kanak-kanak terbabit dalam kerja ladang, sedangkan sudah menjadi lumrah, budaya dan amalan tradisional pekebun kecil sawit di Malaysia membawa anak mereka ke kebun kerana tiada penjaga di rumah. "Mungkin ketika kaji selidik dijalankan, ada kanak-kanak sedang mengutip buat sawit yang bertaburan di sekitar kawasan ladang sedangkan mereka bukan bekerja, hanya dibawa ibu bapa kerana tiada penjaga di rumah. "Ini adalah satu persepsi salah dan perlu diperbetulkan bagi mengelakkan industri sawit negara terjejas. "Penyenaraian ini memberi imej yang negatif dan kemungkinan akan menjejaskan daya saing industri sawit negara. "Buat masa ini belum ada sebarang sekatan akses pasaran ke atas produk sawit Malaysia di Amerika Syarikat (AS) tetapi kita tidak tahu apa akan jadi pada masa depan, kerana AS adalah destinasi eksport sawit keempat terbesar Malaysia selepas Kesatuan Eropah, India dan China, dengan nilai RM4 bilion tahun lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Baru-baru ini beberapa laporan menyebut industri sawit Malaysia disenarai menggunakan buruh paksa kanak-kanak sejak 2014 dan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi disaran mengeluarkan undang-undang melarang kanak-kanak memasuki kebun sawit. Justeru katanya, bagi mengeluarkan Malaysia dari penyenaraian itu, kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi tujuan kajian menyeluruh mengenai buruh yang akan dibuat Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bersama Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO). "Kita harap menerusi kajian itu, satu laporan dapat dikeluarkan bagi menjelaskan perkara sebenar berhubung perkara itu kerana Malaysia memang tidak pernah menggunakan buruh kanak-kanak dalam industri sawitnya. "Saya juga akan berjumpa dengan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique untuk membincangkan langkah yang perlu dibuat bagi memperbetulkan persepsi salah ini. "Kita juga tiada cadangan untuk membuat sebarang undang-undang tidak membenarkan kanak-kanak masuk ke kebun sawit milik pekebun kecil, kita tidak bercadang untuk melaksanakan langkah drastik seperti itu," katanya.